KUALA LUMPUR, 30 Jun: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, tindakan pemimpin Umno BN yang begitu tunduk kepada kehendak negara luar membahayakan keselamatan negara.
Justeru, pemimpin Umno Barisan Nasional (BN) dilihat menjadi agen kepada Brunei dan Singapura apabila tidak tegas dalam tindakan untuk mendapatkan blok L dan M serta tanah Keretapi Tanah Melayu (KTMB) di Tanjung Pagar.
"Secara jelas saya katakan bahawa ramai di kalangan pemimpin Umno sebenarnya adalah agen Brunei dan agen Singapura dan ini dilihat sangat bahaya kepada masa depan negara kita apabila pemimpin-pemimpin negara kita ini lebih menjadi agen Brunei dan Singapura," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.
Di dalam dewan sebelum itu, Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot Anak Jaem ketika penggulungan Rancangan Malaysia Ke-10 peringkat kementerian gagal menjawab soalan beberapa wakil Pakatan Rakyat mengenai isu Pulau Batu Putih, pemberian blok L dan M kepada Brunei, dan tanah KTMB di Tanjung Pagar, Singapura.
Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS berkata, kerajaan ternyata tidak konsisten dalam hal berkaitan kedaulatan negara dan dengan mudah menyerahkan milik negara kepada negara asing.
"Jelas daripada jawapan timbalan menteri tadi kerajaan tidak konsisten dalam hal-hal berkaitan persoalan kedaulatan negara. Contohnya, bila jawab tentang Pulau Batu Putih tadi memperlihatkan ketegasan kerajaan dalam mempertahankan kedaulatan negara di samping menjaga hubungan baik dengan negara jiran supaya penyelesaian dibuat secara aman tapi tidak berbuat demikian dalam kes tanah KTMB di Tanjung Pagar," katanya.
Ujarnya, kerajaan begitu bangga apabila berjaya mendapatkan Pulau Batu Putih tetapi dengan mudah menyerahkan blok L dam M dan tanah KTMB Tanjung Pagar yang jauh mendatangkan keuntungan kepada negara dan yang lebih penting melibatkan kedaulatan negara.
"Tadi secara jelas yang dibanggakan adalah batuan tengah yang dikatakan keputusan mahkamah yang menunjukkan kemenangan kepada Malaysia.
“Apa yang kita nak pertahankan batuan tengah yang hanya bagi hasil untuk tangkapan ikan tapi kalau dapat pertahankan blok L dan M, hasilnya sangat lumayan kepada negara," katanya.
Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub (kanan) pula merakamkan kerajaan Umno BN sebagai pengkhianat negara di dewan rakyat hari ini apabila secara mudah menyerahkan kedaulatan negara Blok L dan M kepada Brunei.
"Kalau beginilah cara kerajaan menyelesaikan isu bertindih, seperti yang saya rakam di parlimen tadi bahawa ianya satu pengkhianatan kepada kedaulatan negara," katanya pada sidang media.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas penjelasan Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot Jaem yang longgar dan tidak konkrit.
Katanya, dalam hal berkaitan kedaulatan negara khususnya kawasan bertindih, kerajaan sewajarnya perlu paling kurang membawa isu pertikaian tersebut ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
"Kerajaan tidak serius dan bersungguh mempertahan kedaulatan negara.
"Mereka menyembunyikan fakta, merahsiakan perkara sebenar khususnya kepada kami di parlimen," katanya lagi.
Kerajaan juga jelasnya lanjut, telah mengenepikan prosedur apabila membuat keputusan tanpa melalui persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun), Dewan Rakyat dan Majlis Persidangan Raja-raja Melayu.
Sehubungan itu, beliau sekali lagi mendesak kerajaan membentang kertas putih di parlimen berhubung penyerahan itu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusuf yang juga kesal dengan jawapan timbalan menteri itu berkata, isu blok L dan M yang ditimbulkan mereka bukan isu ekonomi semata-mata tetapi turut melibatkan keselamatan negara.
"Isu blok L dan M bukan isu ekonomi semata-mata tetapi adalah berkenaan keselamatan negara kerana apabila Ahli Parlimen Kota Belud bangun mempertahankan atas dasar keuntungan yang sanggup menggadaikan maruah negara contohnya dalam isu lesen judi.
"Dalam isu pertindihan di sempadan kita mempunyai hak kedaulatan di mana kita lihat pendekatan yang berbeza dalam isu pertindihan dengan Thailand yang diselesaikan mantan Menteri Luar Negara, Allahyarham Tan Sri Ghazali Shafie dengan mengadakan perbincangan sehingga membentuk satu 'Joint Authority' yang memberikan keuntungan di samping menjaga maruah negara,” ujarnya.
Yusmadi juga membidas sikap pemimpin Umno BN yang hanya mementingkan keuntungan negara yang menyebabkan banyak lagi kawasan bertindih negara akan tergadai.
"Kerajaan Umno BN nampaknya mengamalkan sikap dan dasar yang salah dengan menyerahkan kedaulatan negara yang merugikan negara.
"Sisi berfikir kerajaan ialah untung dahulu baru maruah. Kita mengambil sikap menyerahkan itu bagi saya satu dasar yang salah sikap yang salah dan akhirnya merugikan kita," katanya.harakahdaily.net
0 comments:
Post a Comment