RAYUAN DERMA UNTUK PAS KAWASAN BUKIT GANTANG


NOMBOR AKAUN: 08040010013314
BANK ISLAM CAWANGAN TAIPING

Terima Kasih!

Kita sedia berdialog,bermuzakarah dan berdebat-YDP

UCAPAN YANG DIPERTUA PAS KAWASAN BUKIT GANTANG

Sesungguhnya orang-orang Yang beriman, dan orang-orang Yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang Yang mengharapkan rahmat Allah. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Assalamulaikum warahmatullahi wabarokatuh dan salam sejahtera

Alhamdulillah, marilah kita menyusun jari sepuluh menadah tangan bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan izin dan inayah-Nya dapat kita berkumpul pada pagi yang hening ini bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pendukung jemaah Islam dalam satu pertemuan persaudaraan untuk membentuk dan membina kekuatan serta jati diri bagi memartabatkan daulah Islamiah di bumi Malaysia khususnya di Kawasan Bukit Gantang. Marilah kita menyatakan kesyukuran kepada Allah SWT, dengan limpah kurnia-Nya, kita semua terus beristiqamah dengan perjuangan yang kita imani kesuciannya, dalam wadah Parti Islam Se-Malaysia.

Saya mengambil kesempatan ini mengalu-alukan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan para perwakilan dan tetamu yang berkesanggupan untuk berada dalam majlis ini khususnya kepada YB Dato Wan Abd Rahim Wan Abdullah yang sudi hadir memenuhi jemputan sebagai perasmi walaupun beliau begitu sibuk dengan hambatan kerja dan tanggungjawab lain yang perlu dilaksanakan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Dalam kita menyusuri perjuangan yang kita sayangi ini, sebahagian daripada kita telah pergi menyahut panggilan Ilahi terdahulu daripada kita. Kita baharu sahaja kehilangan tokoh pejuang yang telah banyak menyumbang tenaga dan keringat beliau untuk PAS Kawasan Bukit Gantang iaitu Allahyarham Tn. Hj Abd Samat Rani yang telah kembali kerahmatullah pada 15 Mac 2010 lalu. Pemergian beliau amat dirasai dan sukar dicari ganti. Selain pemergian Tn. Hj. Abd Samat, kita juga kehilangan beberapa pejuang lain seperti Allahyarham Cikgu Mat jali, bekas Ketua Cawangan Batu 6. Semoga roh mereka semua dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama para syuhadah. Marilah kita sedekahkan surah Al Fatehah untuk pejuang-pejuang yang kita sayangi ini.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Perjuangan Islam adalah perjuangan suci yang disyariatkan oleh Allah SWT kepada setiap nabi dan rasul-Nya. Kesinambungan perjuangan ini akan disambung oleh para amilin setiap zaman dan akan berterusan sehingga ke hari kiamat. Kewajipan dakwah Islamiah untuk menyelamatkan akidah manusia ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

ä

Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk.

(Al-Nahl:125)

Berdasarkan perintah tersebut, PAS terus mara berjuang sejak beberapa dekad dan kelangsungannya telah bertali arus sepanjang beberapa generasi hinggalah ke hari ini. Kita terus beriman dan beristiqamah dengan akidah dan ciri-ciri parti Islam yang ditetapkan oleh Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W.. Inilah syarat yang menjadi ketetapan Allah kepada Parti Islam yang bercirikan kesinambungan risalah Islam yang sebenar, dan inilah sebabnya kita menerima ketetapan Allah yang mewajibkan kumpulan Islam sebenar menjadi penerus risalah agama ini walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai tekanan dan fitnah. Bukan sedikit pengorbanan dan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh pendukung dan penggiat PAS sejak dahulu lagi malah ada sebahagiannya terpaksa bergadai nyawa. Namun sebagai pendukung sebuah perjuangan berteraskan akidah, kita masih yakin dan perlu terus berkeyakinan bahawa pengorbanan dan cabaran yang kita hadapi kini masih jauh lebih ringan berbanding dengan perjuangan para nabi dan para sahabat.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Kehidupan manusia di atas muka bumi ini tidak boleh lari daripada perjuangan. Ada sebahagian daripada manusia berjuang untuk mengejar kebendaan dan kemewahan dunia. Ada sebahagian daripada kita yang berjuang berdasarkan ideologi kebangsaan dan hak asasi manusia. Ada sebahagian daripada kita yang berjuang berdasarkan pelbagai ideologi lagi. Namun segala perjuangan yang tidak berlandaskan Islam terbukti jelas berlaku kepincangan dan kelemahan.

Namun, perlu kita fahami bahawa kemenangan dan kejayaan Islam tidak akan berlaku dengan Kun Fayakun. Kita perlu faham bahawa usaha, ikhtiar dan jihad secara bersungguh-sungguh menjadi kefarduan kepada setiap pejuang. Realiti ini mestilah difahami oleh para pendukung harakah Islamiah dan kita mestilah mencontohi kaedah dan cara pengendalian perjuangan yang diajar oleh Rasulullah SAW kerana segala pertolongan daripada Allah SWT kepada hamba-Nya hanyalah apabila kita memenuhi syarat-syarat perjuangan seperti matlamat, pendekatan, kaedah, strategi, contoh teladan dan sebagainya. Kesungguhan kita bekerja untuk Islam ini akan dibantu oleh Allah SWT sebagai mana pertolongan yang diberikan kepada para nabi dan rasul sejak Nabi Nuh a.s. lagi.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Bersandarkan kepada latar belakang politik negara yang kelam kabut dan iklim dunia yang semakin parah suasana geopolitiknya pada waktu ini, maka marilah kita sama-sama mengorak langkah untuk terus mara dengan memimpin rakyat dan negara ke arah perubahan yang hakiki . Kita memimpin untuk merubah masyarakat yang menyanjung tinggi materialistik yang semakin rosak ini kepada jalan kebenaran untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat. Kita bukan sahaja mencegah kemungkaran, tetapi juga menyokong perubahan ke arah kesejahteraan rakyat dan kekuatan Islam. PAS ingin memimpin perubahan dengan membawa satu gagasan politik Islam yang akan menyatukan kaum di Malaysia ini dengan keadilan sejagat.

Firman Allah SWT dalam Al-Quran:


Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan Segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum Dengan adil. Sesungguhnya Allah Dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran Yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

Perubahan ini adalah perlu kerana berlakunya kegagalan sistem politik dan ekonomi dalam dunia hari ini, hasil daripada ketidakadilan dan kegagalan pelbagai sistem yang dicipta oleh manusia. Keruntuhan sistem komunis dan seterusnya kegagalan sistem ekonomi kapitalis yang sedang berlaku pada hari ini adalah menandakan satu bentuk kehancuran ideologi ciptaan manusia. Kita perlu menyedari bahawa perubahan adalah sesuatu yang lumrah dalam kehidupan manusia atas sifatnya sebagai makhluk ciptaan Allah.

Dalam kita menerokai sebuah perubahan itu maka kita perlu bertanya: "Bagaimanakah bentuk perubahan yang kita idam-idamkan itu?". “ Apakah mampu segala yang kita impikan itu menjadi realiti tanpa disusuli dengan gerak kerja yang tersusun rapi?”

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Hari ini kita seharusnya berasa amat bersyukur kerana berada dalam suatu pakatan yang semakin jitu bersama-sama dengan rakan-rakan daripada Pakatan Rakyat khususnya DAP dan PKR. Hubungan kita semakin rapat dan mesra walaupun telah dilemparkan dengan pelbagai fitnah untuk merosakkan hubungan baik ini. Barisan Nasional sentiasa memikirkan cara yang terbaik dan licik untuk memastikan hubungan kita semakin renggang. Pelbagai kaedah dan pendekatan digunakan untuk memastikan hubungan baik ini porak-peranda dan kucar-kacir. Pelbagai umpan dan jerat digunakan dan tidak dinafikan ada sebahagian daripada kita yang termakan umpan tersebut atau tersangkut dek jerat yang dipasang sehingga menjatuhkan kerajaan Pakatan rakyat di negeri Perak.

Ancaman yang semakin hebat ini menandakan pihak musuh semakin bimbang dengan kehadiran kita. Mereka kecut dan menggigil-gigil apabila melihat pimpinan PAS yang dahulunya dilabelkan sebagai ekstrem agama boleh berada dalam majlis DAP yang dahulunya dimomokkan sebagai warisan Parti Komunis Malaya. Mereka gundah-gulana apabila melihat ahli PAS, DAP dan PKR yang pelbagai kaum dan agama boleh makan semeja dan bekerja bersama-sama tanpa rasa janggal dan curiga. Inilah hubungan yang sepatutnya tercipta sejak dahulu lagi dalam sebuah negara berbilang bangsa dan agama. Namun kita melalui jangka masa yang begitu panjang dikongkong oleh propaganda UMNO dan Barisan Nasional untuk menyekat keharmonian antara kaum demi survival kuasa pemerintahan mereka. Hubungan yang baik ini perlu terus disirami dan dibajai agar terus mekar dan segar dan seterusnya mampu memayungi bumi Malaysia yang kita cintai ini.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Kita seharusnya berterima kasih kepada rakyat yang semakin celik politik dan semakin peka untuk berubah kepada kebaikan dan menolak segala penyelewengan yang dilakukan oleh Barisan Nasional. Kepercayaan rakyat khususnya di Parlimen Bukit Gantang kepada Pakatan Rakyat dalam Pilihan raya Umum ke-12 dan Pilihan raya Kecil Parlimen Bukit Gantang perlu dibalas dengan kebaikan. Dalam Pilihan raya Kecil Parlimen Bukit Gantang pada tanggal 07 April 2009 lalu, sebanyak 21 860 undi telah diberikan kepada PAS dengan peningkatan sebanyak 1845 undi yang diperoleh dalam Pilihan raya Umum ke-12. Majoriti yang diperoleh oleh PAS juga meningkat iaitu sebanyak 2789 berbanding dengan PRU-12 hanya 1566 undi. Pertambahan ini menunjukkan kepercayaan rakyat semakin meningkat. Rakyat semakin yakin dan menaruh keyakinan kepada Pakatan Rakyat. Rakyat memberi mandat dan amanah kepada Pakatan Rakyat yang diterajui oleh YB Dato’ Seri Nizar Jamaluddin untuk memimpin dan memandu mereka ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Kepercayaan rakyat ini perlu disantuni secara tertib oleh kita agar hati dan perasaan mereka tidak tercalar serta terguris. Kealpaan dan kelalaian kita untuk menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan, berkemungkinan menyebabkan kita akan gagal untuk menawan hati mereka pada masa akan datang. Kerja keras dan bersungguh-sungguh untuk menyantuni kehendak dan permasalahan rakyat perlu ditangani oleh kita semua. Alhamdulillah kita dianugerahkan oleh Allah SWT seorang pemimpin di parlimen ini iaitu Dato’ Seri Nizar Jamaluddin dan pegawai-pegawainya yang amat bertanggungjawab dan komited dengan amanah yang diberikan. Namun, sebagai pendukung parti yang diberikan tanggungjawab untuk mewakili Kawasan ini, kita seharusnya tidak berlepas tangan dan berpeluk tubuh membiarkan kerja berat dan amanah tersebut dipikul oleh Wakil Rakyat semata-mata. Kemampuan dan keupayaan mereka amat terhad terutamanya apabila memimpin Kawasan di negeri yang diperintah oleh pihak lawan yang segala kemudahan dan peruntukan dinafikan.

Tanggungjawab ini perlu dipikul bersama tanpa mengira kedudukan dan peringkat. Kita semestinya menjadi penyumbang untuk meneruskan kemenangan ini. Program-program yang menjurus kepada sentuhan terus dengan rakyat perlu digerakkan. Gerak kerja secara terarah dan terancang untuk menawan hati pengundi perlu dilaksanakan secara bersungguh-sungguh. Program Pengundi Sasaran yang kini berada pada tahap pertama perlu diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan yang sistematik. Gerak kerja tanpa perancangan dan terarah perlu dielakkan. Kesungguhan kita dalam melaksanakan amanah ini dapat menentukan kemenangan dan kejayaan kita pada masa hadapan.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Anfal, ayat 27:


. Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Masalah keruntuhan akhlak dan jenayah kian meruncing dan amat menakutkan. Rakyat kini tidak lagi berasa selamat berhadapan dengan suasana yang ada. Dalam sebuah akhbar harian bertarikh 21 Mac 2010, dipaparkan sebanyak 17 203 anak luar nikah orang Melayu Islam telah didaftar. Angka ini cukup mengejutkan dan menggerunkan. Data tersebut membuktikan pelaksanaan sistem pendidikan yang dilaksanakan oleh Barisan Nasional gagal membentuk generasi yang bertakwa dan berakhlak mulia. Paparan ini merupakan mala petaka yang diturunkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya yang enggan menerima peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan dalam al-Quran.

Selain masalah kebejatan sosial yang semakin meruncing, rakyat juga berhadapan dengan masalah lain seperti kegawatan ekonomi, rasuah, pemomokan isu perkauman yang berlebih-lebih dan pelbagai lagi permasalahan hasil daripada kepincangan pentadbiran kelolaan Barisan Nasional.

Sebagai sebuah parti yang kini semakin mendapat tempat di hati rakyat, kita sewajarnya mengorak langkah menawarkan pakej penyelamat untuk mengatasi masalah di atas secara praktikal dan relevan. Lajnah-lajnah perlu bergerak secara proaktif untuk menyusun gerak kerja yang dapat menarik rakyat bersama-sama dengan PAS. Pimpinan dan ahli yang berada di cawangan atau UPU adalah medan paling hadapan untuk bertemu dengan rakyat. Kita harus bekerja sebagai sebuah parti yang memerintah atau bakal memerintah dan bukan lagi pembangkang yang sekadar berhujah dengan pertuturan lisan. Kita perlu meyakinkan rakyat dengan alternatif yang berkesan.

Berdasarkan kepada kenyataan di atas, saya ingin menyarankan kepada semua organisasi di setiap peringkat merancang program yang berkesan. Sebagai contoh, Dewan Muslimat atau melalui Unit Nisa’ boleh menyusun strategi menjadi pembimbing anak-anak remaja perempuan agar tidak hanyut dengan kemodenan yang merosakkan. Dewan Muslimat atau Nisa’ boleh menjadi rakan pembimbing dan tempat rujukan melalui program-program untuk menyelamat anak-anak remaja ini seperti Kempen jauhi Zina, Wanita Syurga, Pusat khidmat kaunseling, dan sebagainya.

Dewan Pemuda juga boleh menyusun program untuk menyelamat remaja lelaki yang kini berhadapan dengan permasalahan sosial yang amat runcing. Anak-anak remaja khususnya yang beragama Islam berbangsa Melayu adalah kumpulan tertinggi terlibat dengan pelbagai masalah sosial seperti penagihan dadah, Mat rempit, kes rogol beramai-ramai dan lain-lain lagi. Remaja Melayu yang belum terjebak atau telah terjebak perlu didampingi dengan pendekatan alternatif yang boleh menyelamatkan mereka. Anjurlah apa sahaja program asal sahaja tidak bertentangan dengan panduan yang telah ditetapkan oleh Islam seperti Kempen Lelaki wira penyelamat wanita, Klinik solat, dan sebagainya.

Dewan Ulama juga perlu berperanan lebih luas dalam masyarakat. Ulama PAS mesti menguasai institusi agama di semua peringkat. Ulama dan ustaz-ustaz PAS perlu menjadi tempat rujukan dan naungan masyarakat di luar. Ulama PAS perlu sentiasa diyakini dan dihormati oleh masyarakat. Dampingi masyarakat dengan strategi dan pendekatan yang bersesuaian. Program untuk menarik golongan ulama muda yang akan mewarisi perjuangan juga perlulah ditingkatkan, kerana merekalah pelapis ulung yang akan meneruskan kelangsungan perjuangan Islam secara istiqamah.

Selain itu, penglibatan veteran PAS yang tidak lagi memegang jawatan dalam parti perlu dirangka dan diinstitusikan, supaya mereka yang mempunyai pengalaman yang banyak ini dapat terus-menerus menyumbang kepada perjuangan yang dibawa oleh PAS. Program seminar dan muqayyam khusus kepada mereka juga boleh dijalankan.

Penegasan bahawa PAS adalah sebuah organisasi Islam yang sempurna juga perlu senantiasa ditanamkan kepada ahli di pelbagai peringkat. Asas ini sebenarnya membawa kepada pemahaman, bahawa untuk menyumbang tenaga dan masa kepada perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS tidak semestinya seseorang itu perlu untuk menyandang jawatan politik seperti menjadi Ahli Dewan Undangan atau seorang Ahli Parlimen, tetapi ahli-ahli dan pimpinan juga boleh menyumbang tenaga mereka dalam aspek dakwah, tarbiah dan amal serta khidmat kebajikan yang sangat luas dan amat penting kepada kelangsungan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Dalam situasi kita berhadapan dengan dunia yang semakin mencabar hari ini, keyakinan dan harapan yang semakin tinggi kepada PAS, kita sewajarnya melengkapkan dan meningkatkan diri serta keupayaan kita ke tahap yang lebih tinggi. Setiap ahli perlu meningkatkan penguasaan ilmu sama ada ilmu keagamaan atau kemahiran dunia. Kita juga perlu menunjukkan contoh teladan yang baik (Qudwah hasanah) agar menjadi ikutan dan disegani oleh masyarakat. Firman Allah SWT al-Saff ayat 2 dan 3:

Wahai orang-orang Yang beriman! mengapa kamu memperkatakan apa Yang kamu tidak melakukannya!. Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu Yang kamu tidak melakukannya.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Saya ingin mengambil kesempatan ini menyeru kepada semua peringkat ahli parti untuk memperkukuhkan ukhuwah, mahabbah dan persaudaraan dalam saf jemaah khususnya di peringkat kepimpinan serta aktivis parti sehingga ke seluruh akar-umbi supaya benar-benar menjadi seperti yang dituntut Allah SWT. Marilah kita mengurus kemenangan dan kelemahan kita dengan Islam, supaya Islam yang kita perjuangkan itu mampu dilihat sebagai pemandu dalam segala bentuk amalan kita. Kita ingin memimpin perubahan dalam negara kita dengan Islam. Semua petugas parti perlulah mencari formula dan ruang yang ada untuk menonjolkan kepimpinan Islam dalam segenap segi kehidupan dengan cara yang penuh hikmah dalam menangani harapan rakyat dari pelbagai kaum, agama dan budaya serta terus kekal dengan iltizam disiplin yang tinggi supaya tidak goyah oleh perancangan jahat musuh.

Marilah kita melaksanakan mesej dakwah sebagai mana yang dipesan YB Dato’ Seri Presiden secara muwajahah silmiyyah, dengan kita sedia berdialog, bermuzakarah dan berdebat dengan sesiapa sahaja demi merealisasikan tema Islam Memimpin Perubahan. Marilah kita terus-menerus memperkasakan parti dan mempersiapkan kepimpinan PAS, bagi menangani cabaran persaingan yang semakin sengit.

Marilah kita menampilkan satu imej dan citra PAS sebagai parti Islam yang sentiasa bersedia untuk berdepan dengan apa jua cabaran semasa dan mendatang. Marilah kita mengeratkan persefahaman dan keserasian setia kawan dan kelancaran bekerja di semua peringkat dalam Pakatan Rakyat, sehingga benar-benar dapat menyerlahkan kredibiliti dan perpaduan Pakatan Rakyat khususnya di semua negeri-negeri yang kita tadbir bagi bersiap sedia untuk menempah kejayaan yang lebih besar.

Akhirnya, saya sekali lagi bagi pihak PAS Kawasan Bukit Gantang mengambil kesempatan merakamkan jutaan terima kasih kepada para dermawan yang sudi menyumbangkan derma bagi menjayakan aktiviti kita sepanjang tahun ini. Kepada tetamu yang hadir pada pagi ini dan para perwakilan serta pemerhati, saya merakamkan ucapan terima kasih. Sebelum saya mengundur diri marilah kita hayati firman Allah ini:

Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berperang untuk membela ugamaNya, Dalam barisan Yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan Yang tersusun kukuh.

Sekian, Wassalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh.

MOHD NORDIN B. JAAFAR

Yang Dipertua

PAS Kawasan Bukit Gantang

0 comments: